Sunday, January 3, 2010

Isu Perkataan ALLAH Boleh Digunakan Oleh Orang Bukan Islam (Part 1)

Latar belakang Isu Perkataan ALLAH boleh Digunakan Oleh Orang Bukan Islam

Isu ini timbul apabila Ketua Paderi Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam yang juga bertindak sebagai penerbit bagi Herald telah memohon daripada Mahkamah Tinggi Malaysia untuk memberikan keizinan kepada pihak beliau untuk meletakkan kalimah Allah dalam akhbar mereka. Permohonan ini sudahpun difailkan di mahkamah pada 5 Disember 2007. Beliau memohon supaya penggunaan kalimah Allah tidak hanya eksklusif untuk orang Islam sahaja, bahkan juga untuk penganut agama Kristian. Berikut adalah kronologi ringkas berkenaan isu tersebut.

5 Disember 2007 : The Herald menfailkan satu writ saman untuk menggunakan kalimat Allah dalam akhbar mereka.

31 Disember 2007 : Editor penerbitan, Paderi Lawrence Andrew menyatakan akhbar diberikan keizinan untuk membuat penerbitan dalam bahasa Melayu dengan menggunakan perkataan Allah untuk perkataan God.

4 Januari 2008 : Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Mohd Zin mengatakan The Herald dilarang untuk menggunakan perkataan Allah sebagaimana diputuskan dalam mesyuarat Menteri Kabinet pada 18 Oktober dan 1 November 2006.

4 Jun 2008 : MAWIP memohon untuk menjadi pencelah dalam kes ini.

27 Jun 2008 : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pulau Pinang dan Terengganu memohon untuk mencelah.

4 Julai 2008 : Majlis Gurdwara Malaysia memohon untuk menjadi pencelah untuk kes ini (mengokong The Herald)

10 Julai 2008 : Majlis Agama Negeri Johor memohon untuk menjadi pencelah.

1 Januari 2009 : Penerbitan The Herald diberikan permit baru bersyarat.

3 Januari 2009 : Gereja Roman Katholik Malaysia menolak 3 syarat yang diletakkan oleh Menteri Dalam Negeri iaitu:

1) Tidak dibenarkan penerbitan akhbar dalam bahasa melayu sehingga mahkamah membuat keputusan berkenaan isu penggunaan lafaz Allah.

2) Akhbar hanya boleh dijual di gereja.

3) Kenyataan hanya untuk penganut Kristian hendaklah dicetak dengan jelas pada muka hadapan akhbar.

9 Januari 2009 : Kementerian Dalam Negeri memberikan keizinan untuk mencetak akhbar dalam bahasa melayu (tanpa menggunakan kalimah Allah).

22 Januari 2009 : Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Dalam Negeri memberikan amaran kerana akhbar The Herald masih menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mereka.

24 Januari 2009 : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernad Dompok menyeru Menteri Dalam Negeri supaya memberikan keizinan kepada akhbar The Herald menggunakan perkataan Allah selagi ia masih dalam proses mahkamah.

27 Febuari 2009 : The Herald dibenarkan untuk menggunakan kalimah Allah.

25 April 2009 : Keputusan penghakiman dibuka untuk semakan.

29 Mei 2009 : The Herald gagal dalam permohonannya untuk mendapat perintah penangguhan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melarangnya menggunakan perkataan `Allah' dalam penerbitan itu.

31 Disember 2009 : Mahkamah Tinggi memutuskan Herald boleh menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mereka.

PANDANGAN YANG MENGATAKAN PERKATAAN ALLAH HANYA EKSKLUSIF UNTUK UMAT ISLAM

Antara golongan yang berpendapat sebegini ialah Majlis Fatwa Negeri Perak (yang telah bersidang pada 17 Julai 2008 bersamaan 14 Rejab 1429) Majlis Agama Islam Negeri Johor , Pulau Pinang, Terengganu dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan(MAIWP)

1- Penggunaan kalimah Allah kepada umat Kristian atau bangsa-bangsa yang lain adalah tidak bertepatan dan selari dengan prinsip-prinsip al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah agama Islam. Firman Allah:
{إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ...}

Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah agama Islam.

Jawapan:

Tiada keraguan lagi bahawasanya agama yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam. Namun, isunya di sini ialah berkenaan keharusan penggunaan nama Allah untuk orang bukan Islam. Kita harus bezakan dua perkara di sini:

1- Agama yang diterima di sisi Allah: Tiada keraguan lagi, ajaran Kristian merupakan ajaran yang sesat dan tidak diterima Allah. Ini sebagaimana ditegaskan dalam ayat Allah yang lain

{وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآَخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ}

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

2- Keharusan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian. Ini sebagaimana keharusan sembelihan orang Kristian. Memang ajaran mereka menyelewang daripada ajaran Nabi Allah Isa AS, namun diharuskan untuk memakan sembelihan mereka sebagaimana ditegaskan dalam

{الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ...}

Kata Ibn Kathir “ Merupakan suatu perkara yang sudahpun diijma’kan oleh para ulama’ bahawasanya sembelihan ahli kitab halal dimakan oleh muslim. Ini kerana mereka berpandangan sembelihan selain Allah adalah sesuatu yang haram dan mereka tidak menyebut dalam sembelihan mereka kecuali nama Allah, walaupun apa yang mereka i’tiqadkan tentang Allah adalah salah, Allah tetap tinggi dan suci (daripada apa yang mereka sifatkan)

2-Roh kalimah Allah bukan sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata tetapi melambangkan aqidah atau agama bagi orang yang menggunakannya.

Jawapan:

Itulah yang sepatutnya berlaku pada setiap makhluk yang bernama manusia. Namun, al-Quran menceritakan perkara itu berlaku sebaliknya kepada orang-orang yang mensyirikkan Allah. Al-Imam Ibn Jarir at-Thabari ketika mensyarahkan ayat Allah dalam Surah al-‘Ankabut ayat 61 menyebut:

{وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ}

Ketika engkau (Nabi Muhammad SAW) bertanya kepada orang yang mensyirikkan Allah, siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini serta mentadbirnya,yang menggerakkan matahari dan bulan utnuk kemaslahatan semua ciptaan Allah, nescaya semua orang yang mensyirikkan Allah itu akan berkata “Yang mencipta dan melakukan itu semua adalah Allah”, Allah berfirman “lalu apa yang membuatkan engkau berpaling dari beriman kepada Allah, tidak beribadat hanya untuk-Nya”

{وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ}

Sekiranya mereka mengatakan Allahlah yang melakukannya (menurunkan hujan), maka ucapkanlah Alhamdulillah. Tetapi orang-orang yang mensyirikkan Allah itu tidak tahu yang mana akan memberikan manfaat kepada mereka dalam urusan agama mereka dan yang mana akan memberikan mudharat. Mereka dengan kejahilan mereka menyangka dengan penyembahan mereka kepada tuhan selain Allah akan mendekatkan diri mereka dengan-Nya. Mereka tidak mengetahui bahawasanya dengan tindakan mereka ini akan membinasakan mereka serta akan mengekalkan diri mereka dalam neraka.

Begitu juga dalam Surah Luqman ayat 25.

{وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ}

Begitu juga dalam Surah az-Zumar ayat 38

{وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلْ أَفَرَأَيْتُمْ مَا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ...}

Ibn Kathir mengatakan bahawasanya mereka sebenarnya mengakui Allah pencipta segala makhluk, tetapi mereka menyekutukan Allah dengan menyembah sesuatu yang tidak akan memberikan manfaat mahupun mudharat.

3- Allah yang mereka serukan itu bukanlah Allah yang satu, tetapi Tuhan yang tiga.
Jawapan:

Semua kita maklumi bahawasanya ketika Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, fitnah yang mengatakan nabi Isa anak Allah sudahpun berleluasa.

{وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ ذَلِكَ قَوْلُهُمْ بِأَفْوَاهِهِمْ يُضَاهِئُونَ قَوْلَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَبْلُ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ. اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ.}

Tetapi dalam urusan penyembelihan, umat Islam dibenarkan untuk memakan sembelihan ahli kitab.

{الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ...}

PANDANGAN YANG MENYATAKAN KEHARUSAN MENGGUNAKAN PERKATAAN ALLAH

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَهُمۡ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۖ فَأَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ
وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً۬ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ مِنۢ بَعۡدِ مَوۡتِهَا لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۚ قُلِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ‌ۚ بَلۡ أَڪۡثَرُهُمۡ لَا يَعۡقِلُونَ
(قال فرعون: وما رب العالمين * قال: رب السموات والأرض وما بينهما، إن كنتم موقنين * قال لمن حوله: ألا تستمعون؟ * قال: ربكم ورب آبائكم الأولين * قال: إن رسولكم الذي أرسل إليكم لمجنون * قال رب المشرق والمغرب وما بينهما، إن كنتم تعقلون) (الشعراء: 23 -28).


Disediakan oleh Ustaz Mohamad Ridhauddin Bin Mohd Salleh

Posted by : Nadz

No comments: