Friday, January 22, 2010

Isu Perkataan ALLAH Boleh Digunakan Oleh Orang Bukan Islam (part 3)

SUDUT PANDANG PERLEMBAGAAN

Dalam bab ini, penulis hanya akan fokus dari sudut undang-undang. Untuk makluman pembaca, sewajarnya dalam penulisan artikel khususnya dalam memberi penilaian ataupun komentar berkenaan keputusan hakim, sewajarnyalah untuk merujuk kepada kertas penghakiman asal beliau. Namun, ketika artikel ini ditulis, kertas penghakiman berkenaan isu ini belum ditemui. Selain penghakiman hakim,Datuk Lau Bee Lan saya banyak merujuk kepada kenyataan-kenyataan akhbar khususnya Bernama.

KUASA MENTERI DALAM MEMBERI ATAU MEMBATALKAN PERMIT

Pada 7 Jan, Kementerian Dalam Negeri meluluskan permit penerbitan Herald bagi tempoh 1 Jan sehingga 31 Dis 2009, dengan syarat perkataan "Allah" tidak digunakan di dalamnya dan perkataan "Terhad" mesti dicetak pada muka depan majalah mingguan itu yang hanya boleh diedarkan kepada penganut Kristian serta di gereja sahaja.

Menteri Dalam Negeri (selepas ini akan disebut MDN) mempunyai kuasa mutlak dalam melulus atau tidak meluluskan sesebuah permit dan mesin cetak. Ini dengan merujuk kepada Akta 301 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan Akhbar 1984, dalam bahagian 3berkenaan permit untuk menerbitkan akhbar, Seksyen 6. Pemberian permit adalah menyatakan seperti berikut:
(1) Menteri boleh menurut budi bicaranya yang mutlak memberi -
(a) kepada mana-mana orang suatu permit untuk mencetak dan menerbitkan akhbar
di Malaysia; atau
(b) kepada mana-mana tuan punya mana-mana akhbar di Singapura suatu permit
membenarkan akhbar itu diimport, dijual, dikelilingi atau diedar di
Malaysia.
(2) Menteri boleh pada bila-bila masa membatalkan atau menggantung sesuatu permit
selama sesuatu tempoh yang difikirkannya mustahak.

Menteri juga mempunyai kuasa mutlak untuk melulus, tidak meluluskan atau menggantung lesen untuk menggunakan mesin cetak dalam bahagian 2 berkenaan pelesenan mesin cetak. Dalam Seksyen 3 perkara yang menyentuh berkenaan lesen untuk menggunakan mesin cetak menyatakan seperti berikut:
(3) Menteri boleh menurut budi bicaranya memberi kepada mana-mana orang suatu lesen
bagi menyimpan untuk digunakan atau mengguna mesin cetak selama suatu tempoh
sebagaimana dinyatakan dalam lesen itu dan dia boleh menurut budi bicaranya
menolak mana-mana permohonan untuk mendapatkan lesen atau boleh pada bila-bila
masa membatalkan atau menggantung lesen itu selama sesuatu tempoh yang
difikirkannya mustahak.

Dalam bahagian 4 berkenaan kawalan hasil penerbitan tak diingini, seksyen 7yang menyentuh tentang hasil penerbitan tak diingini turut memberikan kuasa mutlak kepada MDN untuk membuat keputusan.
(1) Jika Menteri berpuas hati bahawa apa-apa hasil penerbitan yang mengandungi apa-
apa makalah, karikatur, fotograf, laporan, nota, tulisan, bunyian, muzik,
kenyataan atau apa-apa perkara lain yang mengikut apa jua cara adalah
memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan,
keselamatan, perhubungan dengan mana-mana negara atau kerajaan asing, atau
yang berlawanan atau mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang atau
selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau
kepentingan negara, dia boleh menurut budi bicaranya yang mutlak melalui
perintah yang disiarkan dalam Warta melarang, sama ada secara mutlak atau
dengan tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditetapkan, pencetakan,
pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan,
pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan itu.

Selain itu, bahagian 5 berkenaan perkara pelbagai, seksyen 13 yang menyentuh perkara pembatalan, penggantungan dan pemindahan lesen atau permit juga memberikan kuasa mutlak kepada Menteri untuk membuat keputusan secara mutlak.
(1) Tanpa menjejaskan kuasa-kuasa Menteri untuk membatal atau menggantung lesen
atau permit di bawah mana-mana peruntukan lain dalam Akta ini, jika Menteri
berpuas hati bahawa mana-mana mesin cetak yang berkenaan dengannya lesen itu
telah dikeluarkan adalah digunakan untuk mencetak mana-mana hasil penerbitan
yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara atau bahawa mana-
mana akhbar yang berkenaan dengannya permit telah dikeluarkan mengandungi
apa-apa jua yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara, dia
boleh membatalkan lesen atau permit itu tanpa memberi peluang kepada orang
yang lesen atau permit itu dikeluarkan kepadanya untuk menunjukkan sebab
mengapa lesen atau permit itu tidak patut dibatalkan.

Dalam bahagian yang sama, seksyen 13A menyentuh berkenaan keputusan menteri adalah muktamad sangat jelas memperuntukan kuasa menteri sebenarnya adalah mutlak dan seolah-olahnya menggambarkan keputusan menteri tidak boleh dicabar dalam mana-mana mahkamah di Malaysia.
(1) Apa-apa keputusan Menteri untuk menolak daripada memberikan atau untuk
membatalkan atau menggantung sesuatu lesen atau permit adalah muktamad dan tidak
boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah atas apa-apa jua alasan pun.
(2) Bagi maksud seksyen ini “keputusan” termasuklah apa-apa perintah atau arahan
yang dibuat oleh Menteri di bawah Akta ini.

Dari itu, saya secara peribadi berpandangan, keputusan Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam untuk menfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri berkenaan penggunaan kalimah Allah merupakan satu percubaan yang berani. Sikap mereka yang konsisten (ulangan sikap mereka yang konsisten, bukan menyokong perjuangan mereka) memperjuangkan perkara ini haruslah kita sekalian umat islam pelajari dan amalkan dalam kehidupan seharian. Walaupun mereka tahu kuasa menteri sebenarnya mutlak, tetapi mereka tetap berusaha.

KENAPA PIHAK EDITOR MEMOHON UNTUK SEMAKAN KEPUTUSAN MENTERI


Walaupun menteri di berikan kuasa penuh dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, ia masih tidak mampu untuk mengatasi kuasa Perlembagaan Malaysia yang merupakan undang-undang utama persekutuan. Dalam perkara 4 (1) perlembagaan persekutuan menyebutkan:

Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

Dari itu, dalam perkara 11 (3) (a) menyatakan kebebasan untuk agama kristian menguruskan urusan agama mereka:
Tiap-tiap kumpulan agama berhak—
(a) Menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;

Dan tujuan menggunakan perkataan Allah bagi menggantikan god sebagaimana yang dinyatakan oleh Hakim Datuk Lau Bee Lan bukanlah bertujuan untuk menyebarkan da’yah kepada umat Islam di Negara ini tetapi bertujuan menguruskan hal ehwal agama mereka.
Dalam perkara 12 (2) dan (3) yang menyentuh berkenaan hak pendidikan menyatakan seberti berikut:

Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

Selain itu, Hakim Datuk Lau Bee Lan juga merujuk kepada perkara 10 (1) (a)berkenaan kebebasan bercakap, berkumpul dan berpersatuan yang menyaakan seperti berikut:
tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara

KELEMAHAN ADALAH DATANG DARI PIHAK KITA

Dalam pada kita menudingkan jari menghalakan kepada musuh dengan menyatakan mereka ada agenda tersembunyi, berniat jahat, cuba mengganggu gugat ketenteraman awam dan sebagainya, ada baiknya sekali sekala kita menginsafi, di sebalik jari telunjuk yang melurus, masih ada tiga jari yang membengkok menghalakan kepada diri. Benar tanpa menafikan kenyataan di atas, sewajarnya dalam nak mengubati penyakit hendaklah melihat dari seluruh aspek, bukan hanya dari satu atau dua aspek sahaja.

Antara punca yang menyebabkan keputusan seperti ini dibuat ialah kerana pihak menteri gagal dalam mengemukakan bukti bahawa penggunaan perkataan itu akan mengancam keselamatan negara dan mewujudkan salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Ini kerana alasan yang diberikan oleh KDN ketika mengemukakan larangan menggunakan perkataan Allah dalam surat bertarikh 7 Januari adalah atas alasan demi keselamatan negara dan mengelak salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Sewajarnya seluruh umat Islam mengambil pengajaran dari perkara ini. Mungkin ketika kita, umat Islam di Malaysia memegang tampuk kuasa, kita boleh mewajarkan semua tindak tanduk kita ketika membuat keputusan terhadap sesiapa sahaja (dalam isu ini terhadap bukan Islam), tanpa memikirkan dan menyediakan fakta dan hujjah yang kukuh dan jitu. Sedangkan asas Islam berdiri di atas fakta dan hujjah
Firman Allah Taala dalam Surah al-Baqarah: 111
{وَقَالُوا لَنْ يَدْخُلَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ كَانَ هُودًا أَوْ نَصَارَى تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ}
“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".

Begitu juga dalam surah-surah yang lain seperti Surah al-Anbia’: 24
{أَمِ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ آَلِهَةً قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ هَذَا ذِكْرُ مَنْ مَعِيَ وَذِكْرُ مَنْ قَبْلِي....}
“Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah keterangan dan bukti kamu; kandungan Al-Quran ini menjadi peringatan dan bukti tauhid umatku, juga peringatan dan bukti tauhid umat-umat yang dahulu daripadaku".

Juga boleh merujuk Surah an-Naml ayat 64 dan Surah al-Qasas ayat 75 untuk perkara yang sama.
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ...}}
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik…”
(Surah an-Nahl: 125)

SEWAJARNYA

Penulis berpandangan sungguhpun Hakim Lau Bee Lan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berkenaan isu ini dengan merujuk kepada beberapa perkara dalam perlembagaan, namun lebih cermat kiranya hakim meneliti hak keistimewaan Islam yang diperuntukan dalam Perlembagaan Malaysia dan kesan sebaliknya sebelum membuat keputusan.

Benar, Hakim membuat keputusan berasaskan kepada perkara 11 (3) (a), 12 (2), (3), 10 (1) (a), namun ini bukan isu berkenaan dengan pengurusan agama mahupun hak
pendidikan agama masing-masing, tetapi melibatkan pertindihan penggunaan
nama Allah antara Islam dan Kristian. Jadi, Perlembagaan Malaysia secara
asasnya memberikan hak eksklusif kepada Islam berbanding agama lain dalam
negara ini.

Dari itu, penulis berpendangan sewajarnya Allah diberikan hak esklusif hanya untuk umat Islam. Ini kerana dalam Perlembagaan Malaysia banyak perkara yang diperuntukan di dalamnya memberikan kelebihan kepada Islam dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti hungan Yang Dipertuan Agong dengan Islam serta Melayu dan Islam. Selain melihat hanya kepada beberapa peruntukan perlembagaan, harus dilihat juga penggunaan tersebut dari sudut bahasa, apakah ada kewajaran. Setakat penelitian saya dari sudut bahasa, tuntutan mereka untuk menggunakan perkataan Allah tidak berlandaskan kepada hujjah yang kukuh.

ISLAM DALAM KERANGKA PERLEMBAGAAN


Perkara 3 (1) perlembagaan persekutuan menyebut:
Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
Artikel 11 perlembagaan persekutuan adalah berbunyi seperti berikut:
Perkara 11. Kebebasan beragama.
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Manakala fasal (4) adalah berbunyi seperti berikut:

(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau
menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang
yang menganuti agama Islam.

HUBUNGAN MELAYU DAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN

Manakala dalam Perkara 160 (2) berkenaan tafsiran perlembagaan menyebutkan orang melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan—
(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir
sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di
Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di
Singapura; atau

(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian;

HUBUNGAN YANG DIPERTUAN AGONG DAN MAJLIS RAJA-RAJA DAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN


Ketua bagi agama Islam di Malaysia ini ialah Yang diPertuan Agong sebagaimana yang ditekankan dalam perkara 3 (2), (3) dan (5):

(2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja,
kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat
yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada
Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati
olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam
apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja
telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke
seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua
agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

(3) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak
hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong
kedudukan sebagai Ketua agama Islam di Negeri itu.

(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong
hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang
membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi
menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-
perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

KETENTERAMAN AWAM

Sebagaimana yang disepakati umum, hakikatnya tidak wujud di dunia ini hak kebebasan secara mutlak. Begitu juga dengan isu ini. Dalam Perlambagaan Malaysia, setiap kebebasan yang diberikan akan diikat dengan keutamaan pada ketenteraman awam dan kestabilan negara.

Dalam perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan berkenaan kebebasan bercakap, berkumpul dan berpersatuan menyatakan
Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan—
(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang
didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan
atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain,
ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk
melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk
membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa
kesalahan;

Perkara 11 (5) yang menyentuh berkenaan kebebasan beragama juga boleh dirujuk tentang perkara yang sama

Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Perkara berkaitan dengan ketenteraman awam ini boleh dirujuk beberapa kes di bawah:
1. Serangan ke atas Gereja Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya.
2. Serangan ke atas Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati Kuala Lumpur.
3. Serangan ke atas Gereja Life Chapel di Sektion 17 Petaling Jaya.
4. Sekurang-kurang 4 NGO (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) (Pekida),
PPIM, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Angkatan Belia Islam
Malaysia (Abim) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ), Pertubuhan Pribumi
Perkasa Malaysia (Perkasa), Ikatan Rakyat India Muslim Malaysia (IRIM), Gabungan
Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Belia 4B dan dijangka 13 lagi NGO lain
akan menyertai sama ) telah dan merancang untuk mengadakan demonstrasi.
5. Mewujudkan situasi yang tidak aman di kalangan masyarakat. Jikalau ditinjau
sahaja dalam Facebook, lebih dari 231 928 menyertai kumpulan bantahan penggunaan
nama Allah di kalangan penganut agama Kristian.
6. Menyebabkan pihak istana khususnya daripada Sultan Selangor yang terpaksa
campurtangan dalam isu ini.
7. Bantahan daripada parti politik seperti Pemuda UMNO ,parti yang berasaskan
Islam, Parti Islam Semalaysia (PAS) serta NGO Islam seperti TERAS Pengupayaan
Melayu (TERAS) .

Penulis percaya, semua peristiwa di atas merupakan implikasi daripada bantahan keputusan Halim Lau Bee Lan. Penulis juga berharap kes ini yang akan dibacakan semula nanti akan mengambil kira semua perkara di atas.


Selain itu, kenyataan daripada Webley Disim, yang juga Yang Dipertua Dewan Usahawan Bumiputera Sabah dan Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun yang menyatakan tujuan isu ini dibangkitkan ialah untuk mengajak orang Islam masuk Kristian adalah sesuatu yang amat serius dan harus diambil perhatian oleh semua pihak berwajib dalam Negara kita. Ini kerana ia dilihat bertentangan dengen perkara 11 (4) Perlembagaan Malaysia yang menyatakan
Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Semua pihak yang terlibat dalam kenyataan di atas harus membuat penjelasan tentang perkara sebenar. Ia menyentuh keagungan dan kehormatan perlembagaan Malaysia. Ini kerana, sekiranya kenyataan di atas benar, maka pihak yang terbabit harus dibawa ke muka pengadilan, sekiranya tidak benar, pihak yang dituduh haruslah mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan nama mereka.

Disediakan oleh : Ustaz Mohamad Ridhauddin Bin Mohd Salleh

Posted by : Nadz

1 comment:

zul_yadaini said...

dasyatnye..blog die..ana senenrnye baru nak belajr2 buat tp tk reti lg..boleh tunjukkan..??